SIRI 1: MUSIM PANAS TERAKHIR
Aisyah mempercepat langkah kakinya. Perjalanan dari bangunan Mc Clelland ke Coconino Hall sepatutnya mengambil masa selama 5 minit. Tetapi dengan hayunan selaju itu, dia tiba-tiba sudah terpacak di hadapan papan tanda yang tertera Coconino Hall. Jam di tangan menunjukkan pukul 8.57 pagi.
Alhamdulillah, dua minit sudah sampai. Nasib baik pensyarah bagi keluar awal. Dah agak dah. Awal semester memang macam ni. Ambil silibus, pastu dah boleh balik. Dia berbicara sendiri.
Kunci pintu utama dan kunci biliknya sudah lama berada di tangan. Pintu bilik 108 dibuka. Dia terus duduk di kerusi sambil tangannya mencapai butang kecil untuk menghidupkan komputernya.
Aduh, bila nak kemas barang ni! Nak kena jumpa Resident Assistant lagi.
Matanya mencuri pandang ke arah beg besar hitam di sebelah katil.
Baru tiga hari lepas Aisyah tiba dari tanah air setelah dua bulan genap pulang bercuti musim panas. Musim panas terakhir tahun pengajiannya. Disebabkan sibuk dengan urusan kemasukan ke bilik untuk perumahan dalam campus itu dan ditambah dengan permulaan semester baru, dia tidak sempat untuk mengeluarkan kesemua barang-barangnya dari Malaysia itu.
Tiba-tiba wajah Profesor David Vanderford tadi datang mengusutkan fikirannya.
Muka macam garang. Memang aku sudah tiada pilihan, semalam kelas pukul 8 pagi dengan dia, Economics Development. Harini dengan dia lagi, juga pukul 8 pagi, International Macroeconomics. Nasib baik bilik kuliah yang berbeza, kalau tidak alamatnya tidur dalam kelaslah nanti.
Semasa mendaftar kelas untuk semester ini dulu, iaitu sebelum semester Spring berakhir, Aisyah cuba mendapatkan kelas yang berlainan pensyarah. Tetapi senarai menunggu sudah penuh. Jadi, hendak atau tidak, dia terpaksa mendaftar kedua-dua kelas itu jika mahu tamatkan pengajian satu semester awal dari yang sepatutnya.
Hari ini 23 Ogos, adalah hari kedua pengajian untuk semester Fall ini. Kalau diikutkan tarikh, sekarang sudah hampir masuk musim luruh. Tapi dengan suhu setinggi 42 darjah celcius ini, ia tidak ubah seperti masih lagi dalam musim panas. Seperti biasa, musim luruh di bumi kaktus ini agak lambat terasa kehadirannya. Walaupun tandus dengan pokok yang menghijau, deretan pelbagai jenis kaktus di segenap ceruk jalan tetap ada tarikannya. Subhanallah, cantik!
Biasanya pada hari permulaan semester ini, semua orang kelihatan sibuk ke sana ke sini untuk menyelesaikan urusan masing-masing. Student Union Memorial Center, bangunan setinggi empat tingkat termasuk bawah tanah itu, adalah tempat utama tumpuan para pelajar kerana di situlah terletaknya segala kemudahan yang diperlukan terutamanya kedai buku kampus. Di situ juga terdapatnya pejabat pos mini United Postal Service, beberapa kafe untuk anak-anak kampus mengisi perut, servis percuma penggunaan komputer, STA Travel – ejen pelancongan cawangan University of Arizona, Wellsfargo Bank, Gallagher Theater dan pelbagai kemudahan lagi.
Aisyah mengakses internet untuk membuka email kampusnya. Mungkin ada mesej penting yang perlu dibaca dan diselesaikan urusan dengan pengirimnya. Jangkaannya tepat sekali apabila dia mendapat email daripada salah seorang staf perpustakaan utama kampus.
Oh, jadual kerja.Alhamdulillah, dapat juga 20 jam seminggu.
Dia hampir terlupa akan tanggungjawabnya itu. Walaupun dia sudah berada di tahun akhir, namun dia masih senang bekerja. Padanya, yang penting adalah pandai membahagi masa antara pelajaran, kerja dan urusan peribadi terutama denganNya. Tidak ada ertinya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, tidak ada gunanya mendapat gaji kerja yang banyak jika urusan dengan yang Esa terlalai dek urusan dunia.
″Assalamu’alaykum! Eh, dah habis kelas ke Aisyah ? ″
Tanya Wardah, teman sebilik Aisyah sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam bilik.
″Ada satu lagi sebenarnya. Pukul 11 nanti. Tapi rasa macam nak drop je.″
″La, kenapa pula? ″ soal Wardah kehairanan. Dia duduk keletihan di atas katil. Penat berjalan agaknya.
″Entahlah. Kelas tu tak penting pun sebenarnya. Tak ada dalam senarai kelas-kelas yang wajib diambil pun. Haritu saja je daftar. ″ Terang Aisyah sambil tangannya mula menggosok mata. Pancaindera kurniaan Allah itu mula merah dan berair. Mengantuk.
″Kelas apa? ″
″Technical Writing″
″Eh itu bukan ke kelas Essay ke? Aisyah kan suka buat karangan″
″Itulah fasal. Tapi rasa macam malas lah pula. Lagipun semester ini dah semester akhir saya, pastu nak kerja kat perpustakaan tu semaksimum mungkin. 20 jam. Dah dapat jadual dah pun dari John. ″
Wardah kenal John yang Aisyah maksudkan, staf perpustakaan yang menguruskan jadual pekerja. Pernah dia bekerja di situ semester lepas, tapi tidak untuk semester ini memandangkan jadual kelasnya yang agak padat. Aisyah sepatutnya menamatkan pelajarannya pada masa yang sama dengan Wardah iaitu musim panas tahun depan. Tetapi di sebabkan di semester awal-awal dulu dia sudah mengambil banyak kelas, jadi dia dapat mendahului yang lain. Dan hari graduasinya nanti adalah pada permulaan musim sejuk!
Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari) dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya. [Al-Israa:12]