SIRI 4: NASI AYAM AFGHANISTAN
Aisyah keluar dari pintu masjid bahagian wanita. Tetapi seperti biasa, dia perlu melewati pintu utama masjid bagi membolehkannya melintas jalan untuk kembali ke kampus.
Alhamdulillah. Dah solat Zuhur. Nak pergi kelas Arab ni masih lagi ada setengah jam.
Sempat pergi makan ni. Tapi tak nak pergi sorang. Lagipun kalau nak beli nasi makcik Afghanistan tu, mesti kena pergi ke dapur masjid. Aisyah sedang menghitung keputusan sendiri.
“Kak Aisyah!” Lily muncul dari tempat letak kereta di belakang masjid.
“Assalamu’alaykum” Aisyah memberi salam terlebih dahulu.
“Wa’alaykumussalam. Kak Aisyah buat apa kat depan ni? Dah solat Zuhur dah?”
“Dah tadi. Ini dah nak pergi, ada kelas pukul 2 kat bangunan Marshall. Tapi rasa macam nak beli nasi kat dapur masjid ni.”
“Ehe. Saya pun sebenarnya macam tulah. Tadi saya pergi ikut belakang masjid, ingatkan Makcik Deeba buka pintu dekat dapur tu. Jom kita masuk ikut pintu depan ni nak? Saya lapar lah Kak Aisyah, tak nak makan tuna sandwich subway je. Nak makan nasi.”
Aisyah tersenyum.
Lily yang berperangai kebudak-budakan itu seperti berjaya memujuk hati nya untuk turut membeli sama. Lily adalah satu-satunya budak perempuan batch selepasnya. Alhamdulillah, dia mengambil bahagian yang sama dengan Wardah. Bolehlah ditunjuk ajar sedikit sebanyak. Junior yang lain selain dari Lily pada masa itu adalah 3 orang lelaki, Hanif, Shahril dan Fawwaz. Asalnya empat orang, Arif, terpaksa dihantar pulang ke Malaysia pada hujung tahun pertamanya kerana ada masalah kesihatan yang serius.
“Akak nak tak ni?” Lily semacam mendesak.
“OK, akak pun lapar ni. Sejak datang balik dari Malaysia tu, tak makan nasi lagi ni. Susah sikitlah nak masak kat dorm tu.”
Tanpa melengahkan masa, kedua-dua anak gadis itu memanjangkan langkah menuju ke dapur masjid melalui pintu depan. Kelihatan pakcik Jamal, warga Palestin sedang asyik menyusun risalah-risalah baru di atas rak kecil di sebelah pejabat imam. Kedengaran suara beberapa orang lelaki tengah rancak berborak dari arah dapur.
Mungkin sedang makan depan dapur masjid.
Aisyah dan Lily meneka.
Biasanya itulah rutin selepas solat Zuhur di masjid. Menghadapi hidangan nasi Afghanistan dari makcik Deeba. Dengan harga $6 sahaja untuk hidangan biasa dan $3 untuk hidangan kanak-kanak. 20% daripada hasil jualan, didermakan kepada masjid. Mulia sungguh hati wanita itu. Dalam masa yang sama menyediakan daging yang halal untuk di makan. Secara tidak langsung mengukuhkan ekonomi orang-orang Islam di Amerika kerana daging yang dibelinya adalah datang dari sebuah kedai Arab di bandar itu. Caravan Store, adalah kedai makanan halal yang paling terkenal di bandar Tucson, menyediakan bahan-bahan mentah halal untuk penduduk-penduduk Islam di sekitar bandar itu.
“Akak nak makan lamb ke chicken?” Soal Lily sebaik sahaja mereka tiba di ruangan dapur.
“Chicken lah, macam biasa.”
Sedang Aisyah membuka beg merah pemberian abahnya, dia seperti merasakan ada sepasang mata sedang memerhatikannya.
Ya Allah, benarkah apa yang aku saksikan ini?
Pandangan pertama rezeki, pandangan kedua adalah dari syaitan!
Jangan toleh lagi. Aisyah, be cool!! Seperti biasa mententeramkan dirinya.
Lily tengah leka memandang makcik Deeba membungkuskan makanan. Makcik Deeba cukup mengenali Lily kerana hampir setiap hari, Lily adalah pelanggan tetapnya. Bangunan kuliah Lily, bangunan Aerospace and Mechanical Engineering (AME) agak berdekatan dengan masjid. Tidak hairan lah dia selalu ke situ untuk membeli makanan.
Setelah selesai urusan membayar, mereka mula menyusun langkah keluar dari masjid.
“Akak tak nak makan dulu ke kat sebelah Bank One tu? Ada kerusi dan meja. Boleh kita makan kejap. Kasihan saya makan sorang-sorang nanti.”
“Maaflah Lily, akak ada kelas pukul 2 ni. Bangunan Marshall jauh depan sana, kena melepasi Bank One dan Tucson Historical Museum tu dulu. Jauh juga tu Lily.”
“Ala, kalau lalu ikut depan International Student Office tu dekat je, lepas tu lintas lah ke bangunan Marshall sebelah Hotel Marriot tu,” ujar Lily memberi peta mulut.
“ Tak apalah Lily, Kak Aisyah kena pergi awal sikit ni. Nanti malu je masuk kelas bawa makanan. Lagipun kalau makan sekarang ni, bukannya sempat habis pun.”Aisyah berterus terang.
“ Iyalah, nanti saya pun nak makan lepas kelas juga lah.”
“InsyaAllah jumpa lagi ye Lily, akak minta maaf tau!”
“Eh tak apa, saya pun tak sedar dah nak pukul 2 ni. Saya ada kelas juga ni. Ingat tadi nak masuk lambat sikit..hihi,” Lily mula menghalakan langkah ke bangunan AME nya.
“OK. Assalamu’alaykum. Nanti kirim salam kat Kak Jes dan Kak Diana ye,” sempat Aisyah mengirim salam kepada kawan-kawannya yang tinggal serumah dengan Lily.
“Wa’alaykumussalam. Kirim salam kat Kak Wardah juga tau,” Lily manja seperti kebiasaannya.
Pertemuan selepas Zuhur itu berpisah di situ. Masing-masing melangkah ke arah hala tuju yang berbeza. Seorang ke Barat, seorang ke Timur.
Kenapa dia berada di situ? Nasib baik Lily tak terperasan. Tapi kenapa aku ternampak dia? Musykil betul. Apa dia buat kat situ?
Persoalan itu terus bermain di benaknya.
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. [An-Nuur:30]
No comments:
Post a Comment