Wednesday, January 05, 2011

SEHANGAT BUMI SAGUARO - SIRI 2

Siri 2 - KEROPOK PEDAS PENGUBAT RINDU

Waktu tempatan Arizona adalah pukul 10 pagi, hari Selasa. Itu bermakna waktu di Malaysia pada saat itu sudah pukul 1 pagi hari Rabu. Perbezaan masa sebanyak 15 jam menjarakkan Malaysia dan Arizona.

‘Aisyah menguap beberapa kali disertai lafaz istighfar. Masih mengantuk kerana tidak cukup tidur malam tadi. Qiyamullail tak lama pun, tapi susah untuk lena. Bukan sengaja dia tidak mahu tidur, tapi matanya agak keras untuk dipejamkan. Segar-bugar seperti siang hari. Nampaknya dia masih terikut-ikut waktu Malaysia, maklumlah bercuti lama.

Wardah sedang khusyuk membaca sesuatu di skrin komputer ribanya.

Mungkin laman berita Utusan Malaysia Online agaknya.Aisyah meneka.

Alhamdulillah, ada kemudahan berita dalam web sebegitu. Tiadalah jauh ketinggalan sangat untuk mengikuti berita semasa tanah tumpah darah tercinta.

“Aisyah bila mula kerja?” Tanya Wardah, dengan mata yang masih tidak berganjak daripada skrin komputernya.

“Malam ni, kalau ikut yang ada dalam jadual John bagi tadi,” jawab Aisyah.

Perlahan-lahan bangun dari kerusi. Merebahkan beg besar hitamnya. Dia membuka, mengeledah isi perut beg itu.

“Tapi rasa macam nak tukar je jadual tu, malam-malam ni kurang sikitlah.”

“Tu la. Malam tu. Agak berisiko kan. Tapi insya-Allah tak ada masalah kot, kita duduk dalam kampus ni dekat je.”

“Insya-Allah nak cuba tukar lah juga. Sebab kalau malam jadual sampai jam 11 malam tu. Penatlah, sebab nak bangun awal-awal pagi nanti. Karang tak pasal-pasal asyik terlepas bangun malam pula. Lagipun kelas saya hari-hari pukul 8 pagi.”

“Eh, Wardah nak makan keropok pedas segera dari Malaysia ni?” Aisyah menukar topik sebaik sahaja ternampak keropok itu dalam beg nya. Sudah hancur sikit, mungkin sebab orang-orang kapal terbang main campak je beg-beg besar ni. Tangannya laju membuka plastik keropok dengan gigi kecilnya.

“Boleh juga, saya memang tengah rindu makanan Malaysia ni,” jawab Wardah sambil ketawa.

Aisyah masih teringat semasa waktu tinggal di asrama di sekolah menengah dulu. Sekolah agama perempuan. Dia sempat tinggal di asrama semasa tingkatan dua dan tiga. Saja nak merasa tinggal di asrama, walaupun rumahnya dekat dengan sekolah. Pada masa itu, ada budak-budak asrama yang membuat perniagaan senyap-senyap di asrama. Mejual keropok pedas segera menjadi perniagaan yang paling maju. Ramai orang suka. Makcik di dewan makan pun ada tempah dengan seorang pelajar yang berasal dari Tumpat, tempat yang tersohor dengan keropok lekor di negeri Kelantan.

Aisyah pun tidak kurang juga berniaga. Bedak kulit rambai petua nenek untuk menghilangkan jerawat dan bintik-bintik hitam di muka. Dia sendiri ada mencuba, tapi tidak istiqomah. Lagipun kawan-kawan melarang dia meletak apa-apa di muka yang tiada jerawat, nanti yang tiada jadi ada, susah!

“Pedas juga ni,” Wardah tiba-tiba bersuara. Di dalam mulutnya masih lagi ada sisa-sisa keropok tadi.

“Saya balik Malaysia haritu banyak juga makan makanan pedas, jadi keropok segera ini tiada apa-apa kesan lah,” Aisyah menjawab sambil tangannya melipat baju-baju. Sesekali dia juga mencapai keropok pedas di atas meja.

Kemudian tumpuan di alihkan ke arah almari pakaian. Seperti mencari-cari sesuatu.

Tiba-tiba tersenyum.

Alhamdulillah, ada pun. Nasib baik jumpa. Kalau tak, masuk musim sejuk nanti kena beli lagi. Susah nak cari yang kait-kait ni. Hihi. Aisyah mengomel sendiri diiringi dengan gelak kecil.

Sarung tangan tebalnya masih ada. Itulah yang menjadi teman setianya pada musim sejuk selepas jaket-jaket kesayangannya. Alhamdulillah dia di tempatkan di Arizona, jadi musim sejuk tidaklah sesejuk di tempat kawan-kawan yang lain seperti di Indiana, Minnesota, Wisconsin, Cleveland, New York dan beberapa tempat lain lagi.

Ah, Alia! Macam mana agaknya kawan aku sorang tu. Dahlama tak jumpa. Ajak balik Malaysia tak mahu. Pelik betul Alia ni sekarang. Senyap tanpa khabar berita.

Tiba-tiba dia teringatkan kawan baiknya dulu.

Aisyah tidak pernah lupa kawan baiknya semasa di INTEC dulu. Ke hulu ke hilir, Alia mesti bersama Aisyah. Cuma dia tidak berapa berminat menyertai aktiviti-aktiviti di surau Kolej Akasia. Tapi itu tidak merenggangkan mereka kerana Aisyah tidak pernah memilih kawan. Dia tidak pernah membezakan siapa kawan, siapa sahabat. Namun mereka terpisah kerana Alia ditempatkan di University of Minnesota Twin Cities, di bandar Minneapolis, di Minnesota.

Walau bagaimana pun, Aisyah memang akui perubahan Alia sejak akhir-akhir ini. Dia dapat merasai perubahan Alia semasa dia pergi melawat Alia pada musim panas yang lepas. Asalnya, kedua-dua mereka ingin pulang ke tanah air, melawat saudara mara, tetapi Alia tiba-tiba membatalkan hasratnya untuk pulang. Mahu ambil kelas katanya. Lantas, Aisyah juga merubah fikiran. Dia telah membuat keputusan untuk melawat Alia sebelum pulang ke Malaysia. Rupa-rupanya ada rahsia di sebalik pemergian Aisyah ke sana.

“Treett..treett..” Tiba-tiba telefon memecah lamunan Aisyah.

Wardah sempat menyambut panggilan itu.

“Aisyah, Sa’diyah nak cakap dengan Aisyah ni.”

“OK. Terima kasih.”

“ Wa’alaykumussalam warahmatullah, I’m doing good. I miss you too!

Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan. [Ali-Imraan:109]

1 comment:

twinscraftlife said...

Hi! Please do Visit our blog! We sell purely handmade items!
We have earrings, bracelets, pouch, handphone strape!!^^
twinscraftlife@blogspot.com

Related Posts with Thumbnails